Kes RM350,000: Polis buka dua kertas siasatan, langkah tepat rungkai dakwaan Azam Baki arah simpan wang

KUALA LUMPUR, 13 Oktober — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima RM350,000 daripada seorang individu pada 13 November 2017 serta hantaran berkaitan yang ditularkan di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil selepas pihak polis menerima laporan berhubung perkara berkenaan.

Menurut beliau, kertas siasatan pertama dibuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, berkaitan penjawat awam menerima benda berharga tanpa balasan daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan prosiding atau urusan yang dikendalikan penjawat awam tersebut.

Kertas siasatan kedua pula dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

PDRM turut memaklumkan bahawa permohonan Perintah Untuk Menyiasat atau Order to Investigate (OTI) di bawah Seksyen 108(2) Kanun Tatacara Jenayah akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Langkah susulan itu termasuk merakam percakapan saksi berkaitan serta mendapatkan pengesahan daripada SPRM mengenai status siasatan terdahulu.

Perkembangan ini menyusuli laporan The Malaysian Corporate pada 11 Oktober yang memetik dakwaan sumber bahawa wang RM350,000 berkenaan disimpan oleh Tan Sri Azam Baki, yang disebut dalam laporan itu sebagai Pengarah Siasatan SPRM ketika pengendalian dana tersebut. Turut disebut Maharidzwan Mahadzir Penguasa Kanan SPRM Gred 44 (PenMas) sebagai saksi wang RM350,000 diberi kepada Azam Baki,

Menurut laporan berkenaan, sumber mendakwa wang itu merupakan sumbangan seorang bekas ahli Parlimen bagi pelaksanaan program pencegahan rasuah di kawasan Parlimen.

Laporan sama turut mendakwa Azam mengarahkan dana tersebut disimpan walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu telah mengesyorkan supaya wang berkenaan dipulangkan kepada penyumbang. Dakwaan mengenai penyimpanan dana dan syor pemulangan itu merupakan keterangan sumber yang dipetik portal berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan PDRM hari ini tidak menamakan pegawai kanan yang dimaksudkan dan tidak mengesahkan dakwaan mengenai peranan Azam dalam penyimpanan wang tersebut.

Penerimaan wang yang menjadi perkara siasatan polis dan dakwaan mengenai pihak yang kemudian menyimpan atau mengarahkan penyimpanan dana itu merupakan dua perkara berbeza yang perlu diperjelaskan melalui keterangan saksi serta rekod berkaitan.

Pengesahan status siasatan terdahulu oleh SPRM juga menjadi antara langkah yang diumumkan PDRM bagi meneliti semula latar kes tersebut.

Dalam kenyataan sama, Kumar mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi sementara polis melengkapkan siasatan. Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.

Back To Top