KUALA LUMPUR — Pertembungan antara Rafizi Ramli dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, kembali memanaskan kontroversi mafia korporat apabila persoalan mengenai dakwaan bayaran RM9.5 juta oleh ahli perniagaan Victor Chin Boon Long dibangkitkan semula.
Rafizi, menerusi kenyataan media bertarikh 20 Oktober 2026, menegaskan beliau belum menerima sebarang writ saman daripada Ramanan berhubung dakwaan tersebut. Dua hari kemudian, Utusan Malaysia melaporkan cabaran Ramanan supaya Rafizi mengemukakan bukti mengenai dakwaan suapan RM9.5 juta itu.
Pertembungan ini membawa semula perhatian kepada dakwaan Victor pada Mac lalu: apakah sebenarnya tujuan bayaran tersebut, kepada siapa wang diserahkan dan siapakah penerima akhirnya?
Dalam kenyataannya, Rafizi mempersoalkan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat yang, menurut beliau, memberi gambaran bahawa Ramanan telah mengambil tindakan undang-undang.
“Saya ingin mengesahkan bahawa sehingga sekarang, saya belum menerima apa-apa writ saman dari R. Ramanan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Rafizi turut menyatakan kesediaan menghadapi saman dan membentangkan bukti yang didakwanya dimiliki di mahkamah.
Bagi Rafizi, kontroversi mafia korporat menyentuh dakwaan yang jauh lebih serius daripada pertikaian perniagaan biasa. Beliau mendakwa wujud kumpulan dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menekan pihak lain menyerahkan syarikat atau pegangan saham mereka.
Beliau turut mengaitkan persoalan itu dengan perebutan saham NexG Berhad, hubungan antara beberapa tokoh korporat dan dakwaan bayaran RM9.5 juta oleh Victor Chin Boon Long
Cabaran Ramanan kepada Rafizi.
Cabaran Ramanan supaya bukti dikemukakan kini meletakkan persoalan pembuktian di tengah-tengah pertelingkahan tersebut. Rafizi menyatakan beliau bersedia membawa bukti ke mahkamah; Ramanan pula mencabarnya mengemukakan bukti dakwaan itu.
Namun, asal-usul cerita RM9.5 juta tersebut tetap perlu ditelusuri kepada penjelasan Victor sendiri.
Laporan media pada Mac 2026 mengaitkan nama Ramanan dengan dakwaan permintaan wang bagi menyelesaikan isu mafia korporat ketika konflik NexG membabitkan kumpulan Victor Chin dan kumpulan “Mr R”, atau peguam Sandraruben yang bertindak bagi pihak Datuk Seri Farhash. Dakwaan ini menuntut penjelasan terperinci tentang tujuan wang diminta, pihak yang menguruskannya dan penerima akhirnya.
Bukan kawtim tapi yuran perkhidmatan
Selepas isu itu mencetuskan kekecohan, Victor menafikan bahawa bayaran RM9.5 juta tersebut bertujuan untuk “kaw tim” dengan penguat kuasa, menutup siasatan atau menyelesaikan dakwaan salah laku terhadapnya. Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai “yuran perkhidmatan” yang dibayar dalam keadaan amat terdesak. Namun, menamakan bayaran itu sebagai “yuran perkhidmatan” tidak menjawab persoalan pokok: perkhidmatan apakah yang memerlukan RM9.5 juta untuk menghentikan tekanan terhadap seseorang dan orang di sekelilingnya?
Menurut Victor, beliau dimaklumkan bahawa wang itu akan disalurkan kepada kumpulan yang didakwanya sebagai mafia korporat bagi memuaskan hati mereka, menghentikan tindakan permusuhan terhadap individu yang dikaitkan dengannya dan memberinya peluang meneruskan kehidupan. Jika benar demikian, penjelasan Victor sendiri membangkitkan persoalan tentang unsur tekanan di sebalik bayaran tersebut. Beliau perlu memperincikan siapa yang meminta wang, siapa yang menerima dan apakah peranan setiap pengantara—bukan sekadar berlindung di sebalik istilah “yuran perkhidmatan”.
Victor perlu tampil semula untuk RM9.5 juta
Justeru, Victor perlu tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai dakwaannya sendiri: tarikh pembayaran, kaedah penyerahan, identiti penerima atau pengantara, serta dokumen dan komunikasi yang menyokong keterangannya.
Jika wang itu diserahkan melalui pihak ketiga, peranan pihak tersebut juga perlu dijelaskan. Jika terdapat beberapa pembayaran, setiap transaksi perlu dikenal pasti supaya perbezaan angka RM10 juta dan RM9.5 juta tidak terus menambah kekeliruan.

Menurut sumber terdapat pihak memiliki rakaman dan gambar berkaitan penyerahan wang berkenaan. Ia mungkin akan didedahkan masa tiba.
Pertembungan Rafizi dengan Ramanan kini memerlukan lebih daripada cabaran terbuka dan kenyataan balas. Rafizi perlu memperincikan asas tuduhannya, sementara Victor perlu menjelaskan pembayaran yang didakwanya dibuat.
Rafizi saman Raman
Terbaharu, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Datuk Seri R Ramanan susulan kenyataan dalam sidang media pada Khamis yang didakwanya berunsur fitnah, termasuk tuduhan bahawa beliau terlibat dalam rasuah. Menurut Rafizi, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan peguamnya yang berpandangan terdapat asas kukuh untuk tindakan undang-undang.
Pada masa sama, beliau mendakwa Ramanan masih belum mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya mengenai dakwaan suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
Apakah Victor Chin akan tampil ke depan?
atau video pertemuan Ramanan dan Victor Chin akan terdedah?
