SPRM Teruskan Siasatan Pengubahan Wang Haram Libatkan Pengerusi IJM & penasihat kewangan Seow Lun Hoo

KUALA LUMPUR — Dakwaan bahawa IJM Corporation Berhad telah “dibersihkan” sepenuhnya daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula dipersoalkan selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman sendiri mengesahkan siasatan berkaitan unsur pengubahan wang haram dan penyelewengan masih diteruskan.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai kenyataan terdahulu berkaitan status “No Further Action” (NFA) yang diumumkan sebelum ini, apabila difahamkan keputusan tersebut hanya membabitkan aspek tertentu berkaitan cadangan pengambilalihan saham oleh Sunway Berhad dan bukannya keseluruhan siasatan.

Menurut Abd Halim, SPRM masih menjalankan siasatan aktif selepas menemui unsur-unsur yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau turut mengesahkan bahawa dua individu kini menjadi fokus utama siasatan iaitu Pengerusi IJM, Krishnan Tan serta Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong.

“Melalui siasatan yang dijalankan, SPRM mendapati wujud unsur-unsur yang boleh disiasat di bawah undang-undang berkaitan dan sebab itu kertas siasatan masih aktif,” katanya.

Setakat ini, seramai 13 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk beberapa saksi yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan urusan korporat serta transaksi kewangan yang sedang diperhalusi SPRM.

Pendedahan tersebut sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada terdapat cubaan mewujudkan persepsi bahawa keseluruhan siasatan terhadap IJM dan individu tertentu telah ditutup, sedangkan siasatan AMLA masih berjalan secara aktif.

Apa sebenarnya cuba dilakukan oleh Pengarah AMLA SPRM? Sebelum ini portal The Malaysian Corporate menerbitkan artikel yang mempersoalkan keputusan NFA terdahulu seolah-olah membersihkan kes AMLA yang terkait keputusan pengurusan lama SPRM.

Pemerhati pasaran melihat kenyataan rasmi Abd Halim memberi gambaran bahawa siasatan kini bukan lagi tertumpu kepada urusan pengambilalihan korporat semata-mata, sebaliknya melibatkan penelitian lebih mendalam terhadap kemungkinan transaksi kewangan mencurigakan, penyalahgunaan kedudukan dan elemen pengubahan wang haram.

Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian memandangkan kes berkenaan melibatkan tokoh korporat berprofil tinggi serta dua kumpulan syarikat besar yang mempunyai pengaruh besar dalam pasaran modal tempatan.

Back To Top