Christina Tseu didakwa tipu jualan beg tangan Hermes Mini Lindy tidak wujud

Mahkamah Majistret Johor Bahru — Seorang peniaga wanita mengaku tidak bersalah di mahkamah hari ini atas pertuduhan menipu melibatkan urusan penjualan beg tangan jenama mewah, Hermes Mini Lindy yang didakwa tidak wujud, tahun lalu.

Tertuduh, Christina Tseu Cheau Wei, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja memperdayakan seorang wanita berusia 53 tahun sehingga mangsa membuat transaksi pembayaran sebanyak RM41,288 ke dalam akaun bank miliknya bagi tujuan pembelian beg tangan berjenama mewah yang dikatakan tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11.31 pagi di sebuah kondominium di Jalan Sri Laguna 1, Taman Laguna, Johor Bahru pada 26 Ogos 2025.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Jason Tan Ka Yan memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung dua anak berusia 12 dan 17 tahun serta menjaga ibunya yang menghidap kanser darah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan sebelum menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis pada 2 Mei lalu selepas mendakwa tidak menerima beg tangan mewah yang dijanjikan walaupun pembayaran telah dibuat kepada tertuduh.

Back To Top