Selepas SPRM Serbu Invest Sabah: Siapa Sebenarnya ‘Tangan Ghaib’ Yang Melindungi Firdausi & Ily?

Kehadiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke pejabat Invest Sabah Berhad baru-baru ini sepatutnya menjadi titik mula kepada pembersihan menyeluruh sebuah GLC negeri yang sejak penubuhannya sudah lama dipersoalkan — dari segi hala tuju, tatakelola, hingga pencapaiannya.

Namun persoalan terbesar yang kini berlegar dalam kalangan penjawat awam, pemerhati politik dan kakitangan sendiri Invest Sabah bukan lagi “siapa yang membocorkan maklumat” tapi siapa yang selama ini membenarkan salah laku berlaku tanpa tindakan?, siapa yang melindungi Firdausi dan Ily?

Pertemuan Senyap Sebelum Mesyuarat Lembaga

Beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah (BOD) Invest Sabah diadakan susulan lawatan SPRM, CEO Invest Sabah, Dr Firdausi Suffian, bersama tunangnya, Ily Lia Affiqah, dilaporkan dilihat menghadiri satu pertemuan tertutup di pejabat Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE).

Pertemuan tersebut — yang berlaku pada sebelah petang sebelum mesyuarat BOD — mengundang persoalan serius: adakah ini “usaha saat akhir” untuk menyelamatkan jawatan, walaupun pelbagai dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran tatakelola telah dibangkitkan?

Jika tiada apa-apa, mengapa perlu pertemuan tertutup pada waktu sepenting itu?

Datuk Thomas Logijin: ‘Tangan Ghaib’ di Sebalik Kelulusan?

Nama Datuk Thomas Logijin Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)  bukan asing dalam pendedahan berkaitan Invest Sabah. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Invest Sabah dan dilaporkan sebagai individu yang:

  • menandatangani kelulusan tuntutan perjalanan,
  • meluluskan permohonan lawatan luar negara,
  • serta “membantu membetulkan keadaan” apabila CEO didakwa melanggar keputusan Kabinet Negeri.

Lebih membimbangkan, beberapa lawatan luar negara — termasuk Jepun (Osaka/Tokyo) dan Brunei — dilaporkan berlaku tanpa kelulusan awal Kabinet, dan hanya mendapat kelulusan selepas perjalanan selesai.

Persoalannya mudah sejak bila keputusan Kabinet boleh “dibetulkan” selepas arahan dibuat?

Jika benar tuntutan dan permohonan disokong serta ditandatangani di peringkat SUT, maka siasatan tidak boleh berhenti pada pengurusan semata-mata. Rantaian kelulusan wajib diselongkar.

Rekod Kontroversi dan Budaya “Kebal”

Datuk Thomas Logijin juga pernah dikaitkan dengan beberapa kontroversi pentadbiran sebelum ini, termasuk isu melibatkan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) bagi skandal pembekalan dan penghantaran syarikat UNITED OCEAN, BRIGHSTAR COMPANY dan BALOIS daripada Taiwan.

Begitu juga skandal Pengarah Department of Industrial Development & Research (Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan) yang bersekongkol dengan syarikat AFCL BioScience Sdn Bhd menyeleweng dana BAIKS ratusan ribu. Hanya SUT mempunyai kuasa meluluskan dana ratusan ribu kepada kontraktor.

Hakikat bahawa beliau terus kekal berjawatan tinggi merentasi beberapa menteri membina persepsi yang tidak sihat: “kebal daripada tindakan.”. KiniThomas Logijin berusaha keras melobi Datuk Ewon Benedict untuk kekal kepada SUT.

Apabila pegawai tertinggi memberi contoh bahawa peraturan boleh “diuruskan”, jangan terkejut jika budaya salah guna kuasa menular ke bawah. Ini bukan isu persepsi semata-mata — ini isu integriti sistem.

Masalah Sistemik di Invest Sabah

Kes Firdausi dan Ily bukan punca. Ia cuma simptom.
Masalah sebenar adalah struktur dan budaya dalam Invest Sabah itu sendiri.

Antara persoalan yang kini dibangkitkan:

  • Ketua Pembangunan Pelaburan, Maturin Sibin, dilaporkan sudah melepasi umur persaraan tetapi kontraknya terus dilanjutkan — walaupun kehadiran dan prestasi dipersoalkan serta jarang melakukan perjalanan rasmi.
  • Seorang ketua jabatan lain dikatakan hanya berkelulusan SPM, namun menerima gaji sekitar RM11,000 sebulan; wujud dakwaan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Menteri MIDE.
  • Prestasi Invest Sabah pula didakwa jauh ketinggalan berbanding rakan setara seperti Invest Selangor, Invest Penang, Invest Johor dan Invest Sarawak — dari segi pelaburan sebenar, penukaran projek, serta impak ekonomi.

Jika benar dakwaan ini berlaku, maka Invest Sabah bukan sekadar “kurang cekap”.
Ia mungkin sedang beroperasi dalam ekosistem double standard: yang berpengaruh dilindungi, yang bertanya ditekan.

Lembaga Pengarah: Bayaran Tinggi, Pulangan Rendah?

Lebih mengundang persoalan, majoriti ahli Lembaga Pengarah Invest Sabah adalah penjawat awam kanan negeri — SUT dan pegawai tertinggi kerajaan.

Namun mereka dilaporkan menerima:

  • RM3,500 sebulan sebagai ahli Lembaga,
  • RM14,000 sebulan untuk Pengerusi,
  • RM7,000 sebulan untuk Timbalan Pengerusi.

Persoalan rakyat Sabah, Mengapa perlu bayaran bulanan tetap, bukan elaun mesyuarat sahaja, untuk sebuah GLC yang masih belum menjana keuntungan?

Ini bukan soal individu. Ini soal prinsip: kebertanggungjawaban dan nilai untuk rakyat.

Pembersihan Menyeluruh: Jangan Berhenti di “Kambing Hitam”

Langkah Ketua Menteri Sabah untuk membersihkan GLC-GLC negeri memang wajar dipuji. Tetapi Invest Sabah mesti disiasat secara menyeluruh — bukan hanya pengurusan, tetapi juga Lembaga, kementerian penyelia, dan rantaian kelulusan.

Jika benar CEO akan dipulangkan ke UiTM, soalan seterusnya wajib dijawab:

  • bagaimana dengan tuntutan dan bayaran yang telah diluluskan?
  • bagaimana dengan peranan tunangnya yang didakwa turut menerima bayaran dan kemudahan bercanggah protokol?
  • dan paling penting: siapa yang meluluskan semuanya?

Jika tiada salah laku, tiada sebab untuk gentar dengan siasatan.
Jika ada pihak yang melindungi, maka itulah akar sebenar yang mesti dibongkar.

SPRM, BIGoNS, Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak boleh sekadar “memandang ke hadapan”. Mereka mesti berani menyelongkar ke atas.

Kerana dalam kes Invest Sabah, masalahnya bukan hanya siapa yang melakukan kesalahan — tetapi siapa yang membenarkannya berlaku.

Back To Top