IJM Corp Bhd berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2026 selepas memenangi projek pusat data hiperskala besar bernilai RM1.26 bilion di Selangor, menurut CGS International.
Pembinaan itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan dijangka siap pada suku kedua 2027.

CGS International menerusi nota penyelidikan berkata, projek itu adalah pusat data kedua yang dimenangi IJM dalam tempoh tiga bulan lalu dan projek pusat data kelima yang diperoleh setakat ini.
Katanya, ini menjadikan jumlah projek yang dijangka diperoleh setakat ini pada tahun ini kepada RM4.2 bilion dan nilai perolehan kontrak tempatan kepada RM8.5 bilion setakat 25 Oktober 2025.
“Mendapat pelanggan baharu iaitu pusat data dalam kalangan hiperskala tahap satu adalah pencapaian penting bagi IJM, ia dijangka menjadi pemangkin yang amat diperlukan bagi harga saham syarikat.
“Kami mengulangi penarafan ‘tambah’ dengan harga sasaran RM3.61. Kami memilih IJM berikutan francais pembinaannya yang kukuh dan perniagaan cerucuk konkrit kitar yang sinergistik,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan kumpulan IJM Corporation Datuk Lee Chun Fai berkata anugerah itu mengukuhkan perkongsian syarikat dengan Sime Darby Property dalam menyampaikan infrastruktur industri dan digital berspesifikasi tinggi. "Ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan IJM Construction untuk melaksanakan projek kompleks dengan selamat dan cekap dalam garis masa yang dipercepatkan, mengukuhkan lagi buku pesanan kami yang teguh, disokong oleh saluran paip projek industri dan pusat data yang semakin meningkat," katanya.
Senada dengan sentimen berkenaan, RHB Investment Bank Bhd berkata, IJM kini bersedia untuk melaksanakan lebih banyak projek pusat data dan pada masa sama terus menyiapkan projek terdahulu.

Menurutnya, syarikat itu telah mengemukakan kira-kira empat hingga enam bidaan bagi kerja-kerja pusat data di seluruh Lembah Klang dan Johor pada 2025.
“Pusat data Telekom Malaysia (TM) di Iskandar Puteri, Johor (yang sedang dibina oleh IJM) telah mengadakan majlis penyempurnaan struktur bangunan terakhir pada Julai, menunjukkan bahawa projek ini telah mencapai tahap kemajuan yang ketara.
“Kami tidak melakukan sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan berikutan projek terbaru yang dimenangi ini masih berada dalam sasaran projek tahun kewangan 2026 kami yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion,” menurut laporan itu.
