Sindiket counter setting yang dikenali sebagai “Thanos” tumpas. Namun sebagaimana dalam cerita Marvel, Thanos masih hidup cuba dia berpindah kediaman ke tempat lain untuk menikmati kehidupannya selepas membuat kejahatan membunuh separuh penduduk bumi dan beberapa orang Avengers.
Sindiket ini dikenali sebagai Thanos, kerana pegawai imegresen terbabit memberikan isyarat petik jari sebagai signal counter setting. Dalam sindiket ini ‘fly’ dan ‘phantom travels’ (pengembara hantu) adalah sasaran petikan jari Thanos.
Thanos kini dikatakan dipindah daripada satu pasukan pengurusan imigresen Terminal 2, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada unit lain, yang terlibat dalam kerja-kerja pejabat. Sama macam dalam cerita Avengers, Thanos sedang menikmati hidup baharu seolah-olah seperti di Bali, menjadi seorang petani.

Beberapa bulan lepas, rahsia seorang pegawai Imigresen Gred KP19 terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai RM248,443 disorok rapi di bawah katil bilik tidurnya di sebuah rumah di Melaka.
Pegawai terbabit, yang baru beberapa tahun berkhidmat, dipercayai terlibat dengan sindiket ‘counter setting’ yang mengatur laluan mudah keluar masuk warga asing tanpa pemeriksaan sah di pintu masuk negara.
Difahamkan, serbuan oleh SPRM itu adalah sebahagian daripada siasatan ke atas sindiket besar yang beroperasi di beberapa lapangan terbang utama negara termasuk KLIA Terminal 1 dan 2.

Lagi Mengejutkan: RM518,000 Dalam Bagasi
Dalam serbuan berasingan, seorang pegawai wanita Gred KP22 pula dicekup di Pahang selepas SPRM menemui wang tunai RM518,250 yang disimpan dalam beg pakaian di bilik tidurnya.
Kedua-dua pegawai tersebut antara lebih 50 individu yang disyaki menerima habuan hasil aktiviti pelepasan warga asing secara haram.
Menurut sumber, pegawai terbabit dipercayai menerima ‘upah’ antara RM500 hingga RM2,800 bagi setiap kemasukan warga asing yang melepasi pemeriksaan menerusi kaunter khas yang telah diatur lebih awal.
Dalang Sindiket Dicekup – Pegawai Kanan Antara Suspek Utama
SPRM turut menahan seorang pegawai kanan JIM berusia awal 40-an yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket. Dia dikenal pasti sebagai individu yang menyelaras penugasan pegawai kaunter untuk menerima ‘tetamu’ dari luar secara senyap.
Pegawai terbabit dikatakan memiliki pengaruh kuat dalam jabatan dan mampu memberi arahan penempatan kepada pegawai lain di lapangan terbang. Siasatan mendapati, pegawai ini telah mengkoordinasi kemasukan haram warga asing dari Myanmar, Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal sejak beberapa tahun lalu.

Lagi Mengejutkan: Dinar Emas, Jam Mewah, Akaun Bank Dibekukan
Selain wang tunai, SPRM turut merampas:
27 keping dinar emas seberat 575.75g bernilai lebih RM200,000
AS$9,900 dan 5,470 Baht
Lebih 75 utas barang kemas, 12 jam tangan mewah, dan 30 telefon pintar
22 kenderaan (9 kereta & 13 motosikal)
Pembekuan 215 akaun bank melibatkan jumlah lebih RM3.6 juta
“Gaji Biasa, Gaya Luar Biasa”
Menurut sumber, gaji bulanan pegawai Gred KP19 lazimnya sekitar RM1,500 hingga RM2,000, namun kehidupan mewah yang dipamerkan oleh beberapa suspek jelas tidak sepadan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa siri tangkapan dan menyifatkan sindiket itu sebagai salah satu rangkaian rasuah terancang terbesar dalam sejarah imigresen negara.
SPRM: Tiada Maaf Bagi Yang Khianat
SPRM membuka 37 kertas siasatan dan menahan lebih 60 individu termasuk pegawai JIM, ejen dan orang tengah. Siasatan masih berjalan dan beberapa individu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Jabatan Imigresen Malaysia turut mengakui kelemahan kawalan dalaman dan berjanji akan menstruktur semula penugasan pegawai serta memperketat pengawasan di pintu masuk negara.